nuffnang

Monday, 16 January 2017

Umat Islam ziarah Jabal Rahmah



Safar Ahmad
am@hmetro.com.my

Makkah: Puncak ini tidak pernah sepi daripada kunjungan umat Islam dari seluruh dunia terutama pada musim haji.
Ramai yang datang ke sini saban tahun dan mendaki puncak berbatu granit setinggi 70 meter itu.
Apa keistimewaan tempat ini sehingga ia dikunjungi berjuta umat Islam setiap tahun?
Jabal (bukit) Rahmah yang letaknya kawasan Arafah di timur kota Makkah adalah simbol kisah cinta Nabi Adam a.s dan Hawa.
Jadi tidak hairanlah ramai umat Islam ke situ bermunajat menadah tangan berdoa, termasuk dipermudahkan mendapat jodoh walaupun tiada nas mengatakan ia tempat mustajab untuk berdoa.
Terdapat sebuah monumen berupa tiang konkrit di tengah-tengah puncak bukit berkenaan dan di situlah dikatakan dua insan ini bertemu selepas diturunkan ke bumi secara terpisah dari syurga akibat melanggar perintah Allah supaya tidak memakan buah khuldi.
Ketika petugas media Malaysia tiba kira-kira jam 7 pagi semalam, lokasi ini sudah dipenuhi penziarah dari pelbagai negara.
Di bahagian bawah terdapat notis pihak berkuasa dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu yang menekankan bahawa Rasulullah SAW datang ke Arafah, tetapi baginda tidak naik ke atas bukit atau mendirikan solat di atas bukit.
Begitu juga terdapat larangan menulis sesuatu pada batuan di situ kerana ia tidak pernah diamalkan Rasulullah.
Perjalanan menaiki puncak Jabal Rahmah tidaklah sukar kerana ia dilengkapi tangga.
Di bahagian atas terdapat ramai penziarah mengambil kesempatan bergambar atau sekadar meninjau.
Dari atas kelihatan kawasan Arafah yang luas saujana mata memandang. Di sinilah umat Islam akan melaksanakan salah satu rukun haji iaitu Wukuf pada 9 Zulhijjah setiap tahun.
Kelihatan juga sekumpulan penziarah mendirikan solat berjemaah dan berdoa. Terdapat beberapa peniaga tasbih turut memperdagangkan jualan mereka di situ.
Kami berada di sini selama kira-kira setengah jam sebelum beredar ke lokasi seterusnya iaitu Masjid Jara’nah yang terletak 24 kilometer ke utara Masjidilharam.
Masjid ini signifikan bagi umat Islam yang menunaikan ibadat haji kerana di sini adalah salah satu miqat atau sempadan untuk mereka berniat melakukan umrah sebelum memasuki tanah haram.
Tempat ini bukanlah masjid asalnya, tetapi sebuah wadi yang sunyi. Ia dikatakan menjadi miqat oleh Rasulullah SAW lalu didirikan sebuah masjid.
Mengikut sejarah, Jara’nah beberapa kali dikunjungi oleh baginda dalam perjalanan pulang ke Madinah.
Selepas satu peperangan baginda singgah di Jara’nah untuk mendapatkan bekalan air, bagaimanapun tidak dijumpai.
Dengan mukjizat yang dianugerahkan Allah kepada baginda, Rasulullah SAW memukul tongkatnya ke tanah lalu keluarlah air dari bumi sehingga membentuk perigi.
Kaum Musyrikin yang sentiasa memusuhi umat Islam tahu bahawa baginda akan berkunjung lagi ke situ lalu memasukkan racun ke dalam perigi berkenaan, bagaimanapun perkara itu diketahui Rasulullah.
Baginda kemudiannya meludah ke dalam perigi berkenaan untuk menawarkan airnya dan dapat digunakan semula.
Satu ketika dulu perigi ini masih boleh dilihat bagaimanapun dikatakan ditutup atas sebab tertentu.
Perjalanan diteruskan ke satu lagi tempat yang turut mencatatkan peristiwa sejarah yang tidak kurang pentingnya terhadap umat Islam ketika hayat Rasulullah SAW iaitu Hudaibiyah.
Di situ terdapat sebuah masjid dan di sebelahnya masih kelihatan kesan runtuhan sebuah masjid lama.
Di sinilah berlangsungnya Perjanjian Hudaibiyah antara umat Islam dengan orang musyrik Quraisy pada tahun ke enam Hijrah.
Antara isi kandungan perjanjian itu ialah umrah ditangguhkan ke tahun depan, orang Islam diberi masa tiga hari saja untuk menyempurnakannya serta tidak dibenarkan membawa senjata kecuali pedang yang bersarung.
Kedua-dua pihak juga bersetuju menguatkuasakan gencatan senjata selama 10 tahun serta bebas membuat perjanjian dengan sesiapa saja.
Ternyata perjanjian bertulis itu memberi banyak kelebihan kepada pihak Muslimin dan kesannya kepada perkembangan Islam pada masa depan.
Hudaibiyah membuka jalan menuju Makkah dan membuka peluang dakwah ke seluruh pelosok Tanah Arab.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 10:03 AM
Jemaah Malaysia mengambil peluang menziarahi Jabar Rahmah

Kesan Runtuhan Masjid Hudaibiyah


Ashraf bersama Isteri, Nur Husna Yusoff serta Dua anak mereka, Muhammad Aisy Raihan,5, dan Aisy Abdurrahman, enam bulan.

Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

Kurang dari dua minggu umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil sudah tentu kedatangan puasa menjadikan mereka lebih teruja dan bersemangat untuk mendidik anak-anak berpuasa.
Bayangkanlah si kecil berusia lima dan enam tahun yang semakin petah berbicara dan bertanyakan pelbagai soalan mengenai puasa menjadikan ibu bapa lebih prihatin untuk menjelaskan mengenai ibadah puasa serta membuat persiapan untuk si kecil.
Ini kerana tanpa persediaan mental dan fizikal, dikhuatiri puasa itu tidak dapat memberikan kesan positif kepada anak-anak, apatah lagi sekiranya dilakukan dengan paksaan.
Menjelaskan lebih lanjut, Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan berkata, walaupun puasa sama seperti ibadah solat yang hanya diwajibkan ke atas kanak-kanak yang sudah baligh iaitu 13 tahun ke atas bagi lelaki manakala perempuan lapan atau sembilan tahun, namun pada usia tujuh tahun anak-anak sudah disuruh solat dan boleh dirotan sekiranya tidak solat pada usia 10 tahun.
“Dalam hal ini ramai ulama memberikan pendapat yang sama mengenai puasa iaitu bermula pada usia tujuh tahun.
“Mendidik bukan bermaksud memaksa. Sekiranya anak itu masih belum mampu berpuasa sehingga memudaratkan kesihatannya, ibu bapa tidak boleh memaksa. Sebaiknya biarlah mereka bermula secara berperingkat iaitu separuh hari, kemudian diteruskan pula sehari sehinggalah cukup sebulan.
“Ini dilakukan agar anak-anak terbiasa sejak kecil sehingga apabila sampai kepada peringkat wajib, mereka dapat melakukannya dengan mudah,” katanya.
Apa yang boleh dilakukan, mulai mencipta atau memberitahu anak-anak yang kedatangan Ramadan ialah bulan penuh sukacita dan sangat dinanti-nantikan.
“Beritahu mereka me­ngenai aktiviti pada Ramadan dan bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Sebahagian kanak-kanak mungkin bertanya apa itu puasa dan berapa lama berpuasa.
“Jelaskan perkara menarik sepanjang puasa misalnya anak-anak boleh menikmati pelbagai juadah enak waktu berbuka, berkumpul dan bermain di masjid waktu Tarawih,” katanya.
Dalam mendidik anak berpuasa, dapat dilihat sahabat Nabi memberikan contoh berpuasa terlebih dulu kepada anak mereka, dengan demikian anak-anak akan mudah mengikuti apa yang dijadikan contoh oleh orang tua mereka.
Misalnya berpuasa dengan tertib, membaca doa sebelum berbuka, tidak membazir pada waktu berbuka serta memilih makanan berkhasiat antara contoh yang boleh menjadi ikutan anak-anak. Dalam pada itu, ibu bapa perlu menerangkan mengapa puasa tidak boleh makan dan minum, mengapa perlu solat dan balasan sekiranya tidak melakukannya.
“Seringkali si kecil me­nyebut kalau tak solat dan puasa masuk neraka. Dalam hal ini pada usia tujuh tahun ke atas adalah peringkat ibu bapa memberikan penjelasan dan penerangan kepada anak-anak mengenai dosa dan pahala kerana minda mereka sudah boleh memahaminya,” katanya.
Tambah Asyraf, mengikut kaedah sahabat Nabi, anak-anak kecil dibawa ke masjid bagi menghidupkan suasana berpuasa. Sekiranya ketika itu ada anak sahabat menangis dan merengek ingin berbuka puasa, sahabat Nabi memberikan mainan kepada anak mereka sebagai hiburan sehingga mereka terlupa dengan permintaan untuk makan dan minum sehinggalah anak-anak ini dapat melanjutkan puasanya hingga penuh.
“Ini juga salah satu kaedah yang dilakukan sahabat Nabi dalam mendidik anak berpuasa. Dengan mengisi masa bermain atau melakukan aktiviti, ia dapat melupakan anak-anak daripada kelaparan. Selain itu, ibu bapa juga dapat memberikan hadiah kepada anak yang berpuasa sebagai penghargaan kepada mereka agar mereka mempunyai motivasi untuk berpuasa,” jelasnya.
Cabaran mendidik anak pada zaman teknologi
Khalifah Umar al-Khattab pernah berkata: “Didiklah anak-anakmu mengikut zaman kerana mereka akan hidup pada zaman yang berbeza dengan zamanmu.”
Merujuk kepada pesanan Umar al-Khattab, ibu bapa disarankan mendidik anak-anak mengikut zaman.
Ini diakui Asyraf yang mengatakan anak-anak pada zaman sekarang bertuah kerana hidup dalam zaman teknologi yang serba-serbi­nya pantas.
Berbeza dengan anak-anak pada masa dulu yang hanya berada dalam lingku­ngan mereka. Permainan hanyalah bola, mandi sungai atau masuk hutan namun masih di dalam kawalan ibu bapa.
Untuk itu, jika ibu bapa pada zaman dulu meng­gunakan rotan untuk menghukum mungkin pada masa sekarang ia tidak lagi sesuai.
“Ini kerana persekitaran sudah jauh berbeza. Sekarang, rela atau tidak anak-anak kecil sudah didedahkan dengan gajet seperti telefon genggam dan tablet. Ini menjadikan mereka cepat matang dan lebih mengetahui dunia luar dengan hanya melayari Internet.
“Ada kebaikan dan keburukannya. Namun lebih banyak keburukannya sekiranya tiada kawalan ibu bapa kerana ia akan menjadikan anak-anak ketagih untuk memasuki laman sesawang yang tidak berfaedah,” katanya.
Untuk itu, pengurusan masa amat penting. Walau sesibuk mana sekalipun, ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak walau di mana mereka berada.
Beri mereka masa menggunakan gajet misalnya selama satu jam sehari atau hanya pada hujung ming­gu saja. Sentiasa pantau apa yang mereka layari, jangan biarkan mereka membuat keputusan sendiri.
Ini kerana jika anak-anak dibiarkan tanpa pemantauan, mereka mudah mendapatkan maklumat yang salah, apatah lagi sekiranya tidak bertanya dengan mereka yang lebih arif.
“Misalnya dari segi pemakanan, mereka mudah mengambil makanan yang kurang berkhasiat disebabkan pengaruh media sosial,” katanya.
Mungkin bagi anak-anak kecil ibu bapa masih boleh memantau dengan menjelaskan mengenai kepenti­ngan mengambil makanan berkhasiat sepanjang Ramadan bagi mendapatkan nutrisi seimbang agar mereka tidak cepat letih.
“Saya akui ada ibu bapa yang tidak kisah mengenai pemakanan anak-anak.
Namun sebaiknya pilih makanan daripada sumber yang halal, bersih serta berkhasiat,” kata Asyraf.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2016 @ 5:33 AM

Diet Rasulullah contoh terbaik



Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my
Mengambil makanan berkhasiat sangat penting terutama dalam pemakanan seharian. Apatah lagi sepanjang Ramadan semua individu perlu memilih menu seimbang terutama ketika berbuka dan bersahur bagi mengekalkan tenaga seharian.
Bagi kanak-kanak yang mula belajar berpuasa pula, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan semua gizi lengkap dalam hidangan berbuka dan bersahur dapat diberikan kepada anak mereka.
Pendapat ini turut dipersetujui Imam Muda Asyraf atau nama sebenarnya Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 32, yang mengakui dalam aspek berkaitan etika pemakanan sihat, diet Rasulullah SAW boleh dijadikan panduan dan ikutan kerana baginda contoh terbaik untuk semua. Rasulullah SAW seorang yang mementingkan khasiat dan mutu makanan diambil agar mendapat sepenuh keberkatan dan manfaat daripadanya.
“Sebab itu ada langkah yang dianjurkan Nabi Muhammad dalam pengambilan makanan ketika berbuka puasa iaitu dimulakan dengan makanan manis iaitu kurma atau tamar kering kerana dari sudut saintifik memang terbukti baik untuk kesihatan. Begitu juga ketika bersahur harus bangun walaupun hanya mengambil segelas air,” katanya.
Semua ini perlu diajar dan diberi penerangan oleh ibu bapa kerana apa juga ilmu yang disampaikan harus bersama penerangan dan tujuan ia dilakukan. Kini, ada ibu bapa yang tidak mengambil kisah mengenai pemakanan anak-anak sedangkan pemakanan sangat penting kerana ia akan membentuk pemikiran, peribadi dan fizikal yang sihat.
Dalam Surah An Nahl ayat 16:114 ada menyebut, “Maka makanlah yang halal lagi thoyyib (baik) daripada rezeki yang diberikan Allah kepadamu, dan syukurilah nikmat Allah, jika kamu hanya kepada-Nya menyembah”.
“Makanan halal di sini bukan saja halal dari sudut Islam tetapi suci, bersih penyediaannya serta sumber yang halal. Dalam kisah Ashabul Kahfi mengenai tujuh pemuda yang tertidur di dalam gua selama 309 tahun, apabila sampai tempoh yang ditetapkan Allah mereka pun dibangunkan.
“Pemuda itu terjaga kerana lapar dan ketika bangun mereka saling bertanya berapa lama mereka tertidur. Pemuda itu menyangka mereka tertidur sehari atau separuh hari saja tanpa menyedari mereka tidur dalam jangka masa yang amat lama di dalam gua.
“Oleh kerana terlalu lapar, sebahagian daripada mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke bandar bagi mencari makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda bernama Tamlikha untuk ke kota Afsus. Kebetulan semasa melarikan diri dulu mereka membawa bersama bekalan wang perak.Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta kelaparan, mereka masih berpesan kepada sahabat yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu supaya memilih makanan yang bersih, halal dan berkhasiat,” ceritanya.
Kisah ini menunjukkan betapa pentingnya sumber makanan halal dan berkhasiat untuk mendapatkan kembali tenaga. Untuk mendapatkan kembali tenaga pentingnya makanan tambahan. Malah Nabi Muhammad sendiri menjaga kesihatan sepanjang tahun dengan memilih makanan tertentu sebagai amalan. Antaranya madu, habbatus sauda malah susu juga adalah makanan Rasullullah SAW walaupun ia tidak dinyatakan secara khusus. Ketika memelihara kambing Nabi Muhammad turut mengambil susu kambing.
“Nabi juga menggemari betis kambing namun tidaklah diambil setiap hari. Baginda makan buah-buahan dulu sebelum mengambil makanan lain. Antara buah kegemaran nabi ialah tembikai dan mentimun. Makanan berkhasiat menjadikan tubuh sihat dan bertenaga,” katanya.
Tambah Asyraf, makanan sihat dan berkhasiat harus mula diberikan oleh ibu bapa ketika anak-anak masih kecil. Mungkin Ramadan adalah masa yang sesuai melatih mereka mengenai makanan berkhasiat. Misalnya dengan memperkenalkan mereka dengan kurma, makanan kaya karbohidrat, protein dan vitamin untuk berbuka puasa dan bersahur serta memastikan si kecil mengambil segelas susu untuk kekal bertenaga sepanjang hari.
“Ibu bapa boleh memberitahu mengenai kandungan susu yang kaya kalsium dan menjadikan mereka mampu berpuasa sepanjang hari. Menerusi cerita yang disampaikan akan menyebabkan si kecil lebih tertarik untuk mengambil makanan sihat berbanding makanan segera atau ringan.
“Namun semua ini bergantung kepada ibu bapa kerana merekalah yang akan menunjukkan perilaku terbaik kepada anak,” katanya.
Ditanya mengenai ganjaran sekiranya si kecil mampu berpuasa penuh ia tidak menjadi masalah. Kanak-kanak sememangnya dilatih untuk menerima ganjaran sekiranya mereka berjaya melakukan sesuatu. Misalnya dalam pertandingan membaca al-Quran, pemenang diberikan hadiah bagi memberikan mereka semangat dan motivasi. Konsep ini boleh diterapkan ketika berpuasa.
“Hadiah berupa ganjaran ini adalah permulaan yang menyeronokkan. Jika mereka berjaya puasa, apa salahnya berikan sesuatu supaya dengan cara ini dapat mengeratkan kasih sayang antara ibu bapa dan anak-anak seterusnya menjadi pendorong untuk mereka berusaha dengan lebih kuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 9:37 AM